Rabu, 16 Disember 2009

Guru KPLI...Akibat Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga...

Semasa saya menjalani Praktikum pada tahun 2006, hangat diperkatakan mutu guru-guru berjenama KPLI. Ada juga mata yang menjeling sepanjang saya menjalani praktikum. Dalam akhbar utama negara mengasak guru KPLI hasil daripada keluhan pembaca. Ketika saya mengikuti Latihan Dalam Perkhidmatan- Pembestarian Guru, pensyarah juga mengatakan KPLI akan dimansuhkan. Soalnya kini, mengapa KPLI perlu dimansuhkan? saya cuba menjadi individu yang berkecuali dalam mengatakan isu KPLI ini, walaupun saya sendiri guru KPLI.

Baiknya Guru Lepasan KPLI....
1. Kelulusan yang baik menyumbang kepada mutu kepada pendidikan negara.
2. Muda dan segar dalam memberikan idea baru di sekolah.
3. Memperkasakan sekolah kebangsaan kerana guru-gurunya terdiri daripada graduan.
Ibubapa sekarangpun bijak-bijak.
4. Memberi saingan yang positif kepada guru-guru sediada.
Gembira melihat guru-guru di sekolah kerana menyambung pelajaran mereka.
5. KPLI-J-QAF - menyokong rancangan KPM.
6. Membantu KPM menyelesaikan masalah kekurangan guru.

Mengapa Guru KPLI Dipandang Serong...tidak semua begitu.
1. Mengambil bidang yang jauh menyimpang dari mata pelajaran yang diajar.
2. Pilihan terakhir kerana sukar mendapat kerja zaman sekarang.
3. Memandang rendah pada guru yang sediada.
4. Tempoh kursus KPLI terlalu singkat untuk memahami ilmu pedagogi.
Guru yang lama hingga 3 tahun di maktab.
5. Berlagak - cara berpakaian,berjalan,bercakap dan menunjuk-nunjuk.
6. Tidak menunjukkan minat kepada kerjaya guru.
7. Tidak suka pada kanak-kanak.

Saya sebenarnya amat berminat dalam bidang pendidikan. Ketika selepas SPM saya ada memohon untuk mengikuti Diploma Pendidikan tetapi gagal. Ketika ingin menyambung pelajaran di universiti, pohon juga pendidikan gagal. Bila dah selesai buat ijazah saya berazam ingin mencapai cita-cita ingin menjadi pendidik. Akhirnya setelah 4 kali memohon saya mendapat tempat di Maktab Perguruan. Isteri saya juga guru berjenama KPLI mod KDC. Cabaran mendapatkan Diploma Pendidikan agak getir. Bila keluar menjadi guru bermacam isu berkenaan guru KPLI. Namun demikian saya akui segelintir guru KPLI yang terang-terang menjadi guru seperti melepaskan batuk di tangga yang lain-lain pula menjadi mangsa. Akibat nila setitik rosak susu sebelanga.

Nasihat saya kepada rakan guru KPLI bersyukur Allah telah meletakkan kita dalam kerjaya ini bersama guru-guru yang lebih senior. Bersyukurlah...

Nasihat saya kepada graduan yang masih tidak jemu-jemu memohon KPLI, teruskan usaha dan kerjalah apa jua jawatan tinggi atau rendah. Bantulah keluarga. Saya faham masalah ini, saya pernah melaluinya memang perit. Bersabar dan terus berdoa.

Saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru di SK Sungai Lengan,Sarawak mahupun di SK Seri Bemban kerana memberi tunjuk ajar kepada saya. Saya cikgu baru belajar menjadi cikgu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan