Khamis, 5 April 2012

Karnival Pendidikan dan Pesta Buku Antarabangsa Melaka 2012

Karnival Pendidikan dan Pesta Buku Antarabangsa Melaka 2012

Tarikh & Masa: 5 – 8 April 2012 / 10.00 Pagi – 10.00 Malam

Lokasi: Melaka International Trade Centre (MITC)

Saya dan isteri tidak sabar menunggu Karnival Pendidikan dan Pesta Buku Antarabangsa Melaka 2012. Memandangkan ia atas nama Karnival dan Pesta Buku Antarabangsa, dalam fikiran saya ia akan dibuat secara besar-besaran berbanding tahun-tahun sudah.

Kehadiran amat memberangsangkan...atas nama Karnival Pendidikan amat bersesuaian kerana banyak IPTA dan IPTS yang menyertainya. Ia membuka peluang kepada pelajar selepas SPM bagi melanjutkan pelajaran. Ia merangkumi IPTA dan IPTS dalam Melaka mahupun luar.

Pameran daripada JPN Negeri Melaka paling berkesan dan bersesuaian. Masyarakat diberi input yang cukup jelas berkenaan KSSR,PBS,MBMMBI. Pemplet dan poster yang dibekalkan amat baik dan menarik.

Saya amat gembira dapat pelbagai cenderahati daripada NUTP, JPN Melaka.

Namun demikian amat mendukacitakan dengan Pesta Buku Antarabangsa....apabila mendengar nama pesta dan antarabangsa saya membayangkan banyak penerbit buku akan turun dari KL dan banyak piilihan buku. Namun demikian ia hanya kedai-kedai buku yang biasa dalam Melaka sahaja. Ia terlalu jauh jika hendak dibandingkan dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC. Amat mengecewakan...Jika sekadar apa yang dipersembahkan di Pesta buku kali ini....saya ternyata lebih ghairah jika membeli buku di Kedai Buku Popular disamping potongan 10% sebagai ahli.

Saya cuma dapat membeli MILINEA MUSLIM 3 naskah dan 2 tiket Menara Tamingsari yang dijual pada harga RM8 sahaja berbanding RM10 pada harga biasa.

Saya harap penganjur akan dapat menjemput penerbit-penerbit besar turun pada tahun hadapan bagi memenuhi nama PESTA BUKU ANTARABANGSA.

Selasa, 3 April 2012

Guru dipenjara 16 bulan rangsang dua murid lelaki

PUTRAJAYA 2 April – Seorang guru Bahasa Inggeris terpaksa meringkuk dalam penjara selama 16 bulan atas dua kesalahan merangsang dua murid lelaki Tahun Enam untuk melakukan kelucahan melampau, selepas Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan akhirnya.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk K.N. Segara yang bersidang bersama Datuk Azhar Ma'ah dan Datuk Linton Albert sebulat suara menolak rayuan Muhammad Nizar Shuib, 31, terhadap sabitan dan hukuman penjara lapan bulan bagi setiap kesalahan.

Ketika kejadian lapan tahun lalu, perayu merupakan guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah di Kedah dan dia turut mengajar tuisyen mata pelajaran itu di rumahnya selepas waktu sekolah. Kedua-dua mangsa merupakan muridnya.

Keterangan kes menyatakan, guru berkenaan merangsang mangsa dengan memainkan filem lucah selain memegang kemaluan kedua-duanya.

Kuorum tersebut dengan itu mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen Alor Setar pada 9 Mei 2010 yang menjatuhkan hukuman tersebut dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya pada 20 Julai tahun lalu.

Muhammad Nizar disabitkan melakukan perbuatan itu terhadap dua murid berkenaan pada waktu yang berlainan di antara Mei 2003 dan April 2004 di rumahnya di Kubang Pasu.

Perayu diwakili oleh peguam G. Ravishankar manakala Timbalan Pendakwa Raya, Tetralina Ahmed Fauzi mewakili pihak pendakwaan. - UTUSAN

Hasan tayang video pengakuan murtad

KUALA LUMPUR 2 April - Bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali hari ini mendedahkan bukti berlakunya kegiatan memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh beberapa pergerakan Kristian di negara ini.

Bukti menerusi rakaman video itu ditayangkan kepada media di kediamannya di sini dengan paparan pengakuan sepasang suami isteri yang pernah dimurtadkan sekitar 2002.

Rakaman video dengan tiga versi iaitu rakaman tanpa suntingan berdurasi sejam setengah serta rakaman dengan suntingan selama 16 minit dan 42 minit itu turut merekodkan pengakuan pasangan berkenaan menjalani upacara pembaptisan di sebuah pangsapuri di ibu negara.

Ujar Hasan, pengakuan pasangan itu jelas membuktikan kegiatan memurtadkan sebahagian umat Islam terutama dalam kalangan orang Melayu sememangnya berlaku.

''Unit Selamatkan Akidah (USA) sejak enam bulan lalu telah mengusahakan pembentukan data-data mengenai orang Islam yang terlibat dalam gerakan Kristianisasi. Gerakan itu telah berjaya memurtadkan umat Islam.

''Unit terbabit telah berusaha mendapatkan beberapa individu yang terlibat untuk berkongsi pengalaman mereka sejak dari mula terdedah kepada gerakan berkenaan hinggalah kepada mereka dimurtadkan.

''Saya difahamkan daripada pengakuan pasangan tersebut, dalam kumpulan mereka sahaja (yang dimurtadkan) ada lebih kurang 300 hingga 400 orang Melayu Islam. Namun, dakwa pasangan itu, sebenarnya ada banyak lagi kumpulan,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Hasan berkata, murtad di kalangan umat Islam kebanyakannya berlaku akibat mementingkan hiburan tanpa batas yang akhirnya memudahkan 'jarum' gerakan murtad memesongkan akidah mereka.

Dalam pada itu, beliau menempelak kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang melihat pendedahan video pengakuan murtad itu sebagai tidak penting.

''Hari ini Abdul Rani (dalam kenyataan media) sebut video murtad tak penting. Jelasnya Pas Selangor sudah dapat arahan Pas Pusat, tidak perlu layan apa yang saya hendak cakap (tentang pendedahan murtad). Abdul Rani juga berkata ada banyak benda besar nak diberi perhatian iaitu pengundi hantu.

''Pengundi hantu dikatakan benda besar dan nak dibandingkan dengan isu murtad? Bayangkan seorang Islam kata video murtad tak penting? Bertambahnya orang murtad tak penting?

''Saya tak tahulah (hendak kata apa) dan berharap beliau balik kepada akalnya untuk mencambahkan akidah Islam,'' ujarnya.

Beliau kemudiannya membidas kenyataan seorang pemberita yang mengaitkan pertambahan umat Islam yang murtad khususnya di Selangor dengan kegagalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak selaku ketua agama Islam negeri.

''Untuk anda (pemberita) kata Sultan tak jalankan tugasnya, ia keterlaluan,'' tegas beliau terhadap pemberita tersebut yang berulang kali membangkitkan soalan sama.