Sabtu, 21 Mei 2011

Tragedi Tanah Runtuh Rumah Anak Yatim Hulu Langat






HULU LANGAT 21 Mei – Seramai 13 penghuni Rumah Anak- anak Yatim dan Anak-anak Kebajikan Madrasah Al-Taqwa, Felcra Semungkis, Batu 14, di sini, maut akibat tertimbus setelah tebing sebuah bukit berdekatan runtuh dan menghempap khemah yang mereka duduki.

Sehingga pukul 1.30 pagi, operasi mencari dan menyelamat mangsa-mangsa masih diteruskan dan terdapat tiga lagi penghuni dipercayai tertimbus.

Seorang mangsa tertimbus, Abang Iwan, 33, berjaya diselamatkan pada pukul 10.20 malam.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Azrel, Nael, Eqim, Zaim, Rahimi, Angah, Boboy, Zaid, Abang Farid, Shahrul, Lokman dan Hasril berusia empat tahun hingga 30-an.

Mereka terdiri daripada 12 kanak-kanak dan seorang dewasa.

Ketika kejadian pada pukul 2.30 petang mereka bersama yang lain berada di dalam khemah tersebut untuk berlatih nasyid bagi meraikan kedatangan rombongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) pukul 5 petang.

Khemah itu dipasang untuk majlis tersebut yang terletak bersebelahan tebing.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dilakukan dengan membuat dua terowong turut mengalami kesukaran berikutan hujan lebat petang ini dan menyebabkan berlaku pergerakan tanah.

Seramai sembilan mangsa termasuk dua dewasa dibawa keluar dengan selamat. Kesemua mereka dihantar ke Hospital Ampang dan Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang terselamat pula dikenali sebagai Khairul, Hairis, Harris, Aizat, Alaudin, Shafiz, Akmal dan pekerja rumah berkenaan, Abang Din.

Dua mayat dibawa keluar pukul 4.25 petang diikuti mangsa-mangsa seterusnya kira-kira dua jam hingga tiga jam kemudian dan dibawa ke Hospital Kajang.

Rumah itu menempatkan seramai 49 orang yang terdiri daripada kanak-kanak yatim dan lima penjaga.

Seramai 500 anggota pasukan penyelamat terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat iaitu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Ampang, Bangi, Kajang, Selayang, Serdang, Cheras dan Pandan, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

Mereka turut dibantu Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah jentolak milik swasta.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar berkata, runtuhan tanah itu merupakan yang terburuk pernah berlaku dalam sejarah di kawasan tersebut.

Beliau berkata, pihaknya dan agensi penyelamat lain mengalami kesukaran mencari mangsa yang tertimbus kerana struktur tanah yang lembut serta bergerak.

Menurut Khalid, pasukan penyelamat terpaksa membuat dua terowong untuk mencari dan menyelamat mangsa yang tertimbus.

“Ekoran keadaan hujan, kemungkinan terdapat runtuhan yang akan berlaku di kawasan ini. Saya nasihatkan orang ramai agar tidak datang ke kawasan ini kerana berbahaya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Sumber : Mingguan Malaysia

Salam takziah daripada saya.
Al-fatihah.

Tokoh Guru Negeri Melaka 2011

Tokoh Guru Negeri Melaka Tahun 2011

1. Puan Hajah Hamidah Binti Baba.
2. Tuan Haji Ahmad Bin Mohd Said.
3. Tuan Haji Rashid Bin Yaakop.

1. Puan Hajah Hamidah Binti Baba.
Lahir di Kuala Sungai Baru
Pendidikan awal Sekolah rendah di SK Kuala Sg Baru.
Pendidikan tertinggi Universiti Singapura 1966-1969
Universiti Malaya 1970

Sejarah Perkhidmatan Secara Ringkas
1977-1989 Pengetua SM(P) Temenggong Ibrahim Batu Pahat
1989-1992 Pegawai PPD Batu Pahat
1992-1998 Pengetua MPPPM
1999-2001 Pengarah BTP

2. Tuan Haji Ahmad Bin Mohd Said.
Lahir di Jasin, Melaka.
Pendidikan awal Sekolah rendah di SK Kesang Tua
Pendidikan tertinggi
1965-1966 Regional Teacher Training Centre Melaka
1969-1972 Universiti Malaya
1976-1977 Stanford Universiti,USA MA Education

Sejarah Perkhidmatan Secara Ringkas
1967-1969 SMK Tun Perak
1983-1987 SMK Sultan Abd Aziz Shah, Kajang, Selangor
1987-1993 Ketua Pen. Pengarah Pusat Perkbgan Kokurikulum
1993-1995 Timb.Pengarah BPG
1997-1999 Pengarah BPG
1999-2000 TImb Pengarah Jbtan Pend.Khas

3. Tuan Haji Rashid Bin Yaakop.
Pendidikan awal Sekolah rendah di SK Bacang.
Pendidikan tertinggi
1970-1972 Universiti Malaya

Sejarah Perkhidmatan Secara Ringkas
Pengetua di 6 buah sekolah
2003 -2004 Timb. Pengarah Bahagian Buku Teks, KPM
2004 -2006 Pengarah Bahagian Buku Teks, KPM

Sumber : Buku Program Sambutan Hari Guru 2011 Peringkat Negeri Melaka.

Kenangan Meraikan Hari Guru Peringkat Negeri Melaka 2011

Saat guru lain sedang berehat pada hari Sabtu. Saya lengkap berpakaian batik bagi meraikan hari guru peringkat negeri Melaka. Rakan saya GPK HEM En. Abu Samah datang tepat ke rumah saya jam 7.30 pagi. Di dalam surat tertera guru perlu berada di Dewan Platinum Politeknik Merlimau Melaka. Saya membawa kereta agak perlahan sekitar 50KM sejam memandangkan jarak rumah saya ke tempat tersebut sekitar 15 minit sahaja.

Perasaan saya agak sedikit teruja kerana inilah kali pertama saya berpelung menyambut hari guru peringkat negeri. Berlainan GPK HEM saya mungkin sudah acapkali menghadirinya memandangkan dia seorang guru veteran dan akan bersara pada tahun hadapan.

Sesampainya saya di sana saya kereta sudah mula bersusun di muka pintu politeknik, saya mengambil keputusan parking di luar kerana yakin jalan sesak di dalam. Telahan saya benar sekali kereta sudah mula sesak walaupun jam masih menunjukkan jam 7.45 pagi. Keadaan di Politeknik Merlimau agak indah dan bangunannya juga agak moden dan menarik. Teringat saya tempat saya belajar di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah Kuantan,Pahang yang sedikit uzur, ketika itu sekitar tahun 90-an.

Sesampai sahaja dewan juga agak besar dan berhawa dingin sepenuhnya. Pada mulanya saya agak selesa, namun demikian keadaan mula agak meresahkan kerana kehadiran Ketua Menteri Melaka yang agak lewat. Di dalam jadual YAB dijangka sampai jam 9.30 pagi namun demikian beliau sampai sekitar jam 10.30 pagi. Perut juga agak berkeroncong kerana tidak bersarapan pagi. GPK HEM saya tiba-tiba bersuara sepatutnya semua guru dibekalkan sedikit makanan sebagai alas perut. Setidak-tidaknya roti dan air mineral. Saya mengangguk tanda mengiyakannya.

Namun demikian hati saya seakan terubat apabila dapat menyaksikan Persembahan Teater Muzika dari gabungan tiga buah sekolah. Saya tidak ingat nama sekolah tersebut. Namun demikian saya dapat melihat sahabat sata Cikgu Zawawi dari SK Demang Husin.

Sebelum saya terlupa, kalau tidak silap Ustaz Rosli yang mengajar saya di SMK Jasin dahulu menjadi pengerusi.

Saya juga bersyukur dapat melihat sendiri tiga orang Tokoh Guru Peringkat Negeri Melaka.

Tokoh Guru Peringkat Negeri Melaka 2011
1. Puan Hajah Hamidah Binti Baba.
2. Tuan Haji Ahmad Bin Mohd Said.
3. Tuan Haji rashid Bin Yaakop.

Sekian.

Rabu, 18 Mei 2011

Hadiah Hari Guru

Bercerita mengenai hadiah hari guru...

Adik saya mengajar di sekolah menengah secara berseloroh menyatakan di sekolah menengah tiada budaya memberikan hadiah berbanding di sekolah rendah. Saya cuma tersenyum tanda tidak pasti. Mungkin ada benarnya apabila seorang rakan yang anaknya di sekolah menengah agak malu untuk memberikan hadiah kepada gurunya.

Di sekolah rendah pula lain ceritanya...
Ibubapa berasak di kedai cenderahati memberikan hadiah kepada guru. Mungkin anaknya agak malu jika tidak memberikan hadiah kepada guru mereka. Di saat pertengahan bulan mungkin ibu bapa berkira-kira membelikan hadiah. Rengekan dan rintihan daripada anak membuatkan ibubapa terpaksa menyediakan budget hari guru.

Ada sisipan kenangan ketika saya mengajar di Sarawak... hadiah yang saya perolehi agak menarik. Saya mendapat hadiah beras dan sabun buku.

Sesungguhnya bukan hadiah yang ditunggu oleh guru saban tahun.

Saya amat terharu apabila beberapa orang murid mencium tangan dan mengucapkan selamat hari guru dengan sepenuh hati walaupun tiada hadiah ditangan yang memberi.

Sedekahkanlah al-fatihah bila cikgu tiada nanti.

PERUTUSAN HARI GURU 2011 OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


PERUTUSAN HARI GURU 2011
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekalian,
1. Terlebih dahulu saya ingin melafazkan rasa syukur kerana sekali lagi
dapat kita menyambut Hari Guru yang telah mula diraikan semenjak tahun
1972. Betapa mulia darjat guru sehingga 16 Mei setiap tahun dikhususkan
sebagai hari menterjemah rasa penghormatan yang amat tinggi kepada
tuan-puan warga pendidik sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya
ucapkan kepada semua warga guru atas jasa bakti yang tidak pernah
mengenal erti jemu dan lelah dalam usaha mendidik anak-anak bangsa
yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan
negara.
2. Pendidikan merupakan wadah utama menentukan perkembangan
kemajuan dan kemakmuran negara. Pendidikan menjadi peneraju dalam

membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan
berkeperibadian mulia. Sejarah telah membuktikan pendidikan berjaya
membina tamadun sesebuah masyarakat dan menjamin keutuhan sesuatu
empayar. Kegemilangan zaman empayar Rom, keagungan kerajaan Islam
Abbasiyah dan kemasyhuran Dinasti Ming di China dicapai melalui
kepesatan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi.
Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama
dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru.
3. Sehubungan itu, amat wajarlah pemilihan tema hari guru pada tahun
ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Peranan dan
fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai
ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun
sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus
dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara
dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya
saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan
nilai sejagat.

4. Pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan direncana dan
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk
memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran
(P&P) di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentulah untuk menghasilkan
anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan
negara. Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi
apa-apa makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di
barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik
dan progresif. Di bahu gurulah diletakkan amanah memastikan kelancaran
dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan 1 Murid 1 Sukan
(1M1S).
5. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini
akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)
juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.
Pengharapan yang tinggi digantungkan kepada para guru sebagai
pemangkin transformasi untuk memastikan anak didik dipersiap dan
diperlengkapkan dengan elemen sains dan teknologi; komunikasi;
kerohanian, sikap dan nilai; perkembangan fizikal dan estetika;

kemanusiaan juga keterampilan diri. Persekitaran dunia yang semakin hari
semakin kompleks dan mencabar menuntut generasi dan anak bangsa
masa hadapan dibekalkan dengan keupayaan mapan mengharungi apa
juga rintangan yang menerjah.
6. Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju
Malaysia menjelang tahun 2020 yang dilancarkan pada awal tahun 2010
menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan
Malaysia. Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian
pelajar. Bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas
literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi dan peningkatan prestasi
Pengetua dan Guru Besar. Namun demikian, secantik dan segah mana
pun pelan pendidikan yang direncanakan pasti sukar untuk berjaya tanpa
komitmen dan usaha gigih para guru. Betapa besar peranan para guru
yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
7. Sesuatu yang pasti, transformasi dalam pendidikan akan terus
berlaku. Kenyataan ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi

negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan,
budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. Justeru saya
menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut
sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P
dalam bilik darjah. Wahai guru, begitu tinggi harapan yang disandarkan
oleh masyarakat kepada anda semua. Berikanlah tumpuan sepenuhnya
terhadap tanggung jawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum,
kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didikmu. Ketahuilah bahawa
golongan pendidik bukanlah golongan yang dipinggirkan dalam setiap
perancangan kerajaan di peringkat nasional.
8. Pihak kerajaan tidak pernah sekali-kali memandang sepi jasa bakti
yang dicurahkan oleh para guru. Pelbagai insentif dan inisiatif disediakan
bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan
kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan
jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan mewujudkan jawatan
pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan
peluang guru-guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga ke
peringkat JUSA C. Sekadar menyebut beberapa contoh, sehingga
Disember 2010, kuota Guru Cemerlang Gred DG54 Sekolah Menengah
telah ditambah menjadi 166 dari jumlah asal sebanyak 100 kuota manakala
bagi Guru Cemerlang Gred DG52 Sekolah Menengah menerima
pertambahan sebanyak 166 kuota menjadikannya berjumlah 416 daripada
kuota asal sebanyak 250.
9. Keprihatinan kerajaan juga adalah menyeluruh tanpa garis
sempadan. Cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas
Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan
Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan muridmurid
walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda
semasa kerajaan. Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa
dipraktiskan oleh pihak KPM bagi memastikan peluang mengikuti
pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara
tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan
fahaman politik. Tiada istilah diskriminasi dalam sistem pendidikan negara.
Semua kanak-kanak mendapat hak yang adil dan saksama dalam konteks
pemerolehan ilmu. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada
golongan yang terpinggir. Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi
pendidikan khas disediakan bagi kanak-kanak kelainan upaya. Kanak7
kanak dalam kalangan kurang berkemampuan pula diberi bantuan melalui
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan,
Skim Bantuan Tuisyen dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan
Beruniform. Manakala bagi kanak-kanak yang cemerlang dalam bidang
akademik dan kokurikulum dalam kalangan keluarga berpendapatan
rendah layak menerima Biasiswa Kecil Persekutuan atau Program Pelajar
Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh.
10. Menyedari tanggung jawab dan fungsi guru yang amat besar dan
penting, pastilah bukan calang-calang calon yang layak dipilih bertugas di
sekolah dan dipanggil ‘cikgu’. Sehubungan itu, KPM telah mengambil
langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria
pengambilan guru pelatih bagi kursus praperkhidmatan. Pencapaian
akademik yang baik, penglibatan aktif dalam kokurikulum, pencapaian MTeST
dan INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan), prestasi temuduga individu
dan kumpulan dan ujian bertulis Bahasa Inggeris diambil kira bagi sebelum
seseorang calon guru pelatih dipilih bagi menjamin kualiti pendidik yang
dikeluarkan oleh institusi keguruan. Langkah untuk meningkatkan
profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus
dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

11. Usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai
sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau
kementerian sahaja. Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu
memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan
tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha
untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran
proaktif, kreatif serta inovatif. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru
mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran
terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu
menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu.
12. Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan
yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi.
Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk,
kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan
amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan
berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat
ditingkatkan. Saya juga ingin menyeru agar para guru semua mematuhi
tata cara yang ditetapkan dalam menangani isu persekolahan terutama
yang berkaitan dengan disiplin murid. Tanganilah setiap masalah yang
timbul secara berhikmah. Nasihatilah murid-murid dengan lemah lembut
dan sentuhlah hati mereka dengan keluhuran, keikhlasan dan kemurnian
jiwa guru semua.
13. Akhir kalam, renungkanlah semula peranan dan tanggung jawab
tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai penjana transformasi pendidikan
negara. Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak
akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan
matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa. Sebagai
pemimpin kepada anak didik, saya berharap agar guru menghayati katakata
Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini, "Semulia-mulia manusia ialah
siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan
tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat".
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

Selasa, 17 Mei 2011

Ucapan Perdana Menteri Sempena Hari Guru 2011


Bismillahir Rahamanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Para guru yang dirai dan dimuliakan sekalian,

1. Pada hari yang bermakna ini, saya ingin mengambil peluang sebagai Perdana Menteri Malaysia juga bagi pihak kerajaan, rakyat, diri saya dan isteri untuk mengucapkan rasa terima kasih yang tidak terhingga kepada para guru. Hari ini merupakan hari kita meraikan serta memberi pengktirafan kepada mereka.

2. Sesungguhnya, jasa mereka yang begitu besar, budi mereka yang ditabur serta khidmat bakti mereka kepada negara tidak mungkin akan dapat diimbal dengan seadilnya. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu memberikan ganjaran setimpal.

3. Hakikatnya, sejarah pembangunan Malaysia dilakar melalui kalam para guru, ia disuburkan hasil jerih payah dan pengorbanan warga pendidik di bilik-bilik darjah dan padang-padang permainan. Sebetulnya lagi, sebuah negara yang maju, sebuah tamadun yang hebat, tidak mungkin terbina tanpa insan yang bergelar guru.

4. Hari ini, di setiap ceruk rantau negara, para guru tanpa mengenal penat lelah senantiasa membawa cahaya harapan kepada anak-anak Malaysia. Para gurulah yang membuka pintu gedung ilmu pengetahuan, membolehkan penerokaan khazanah minda seterusnya mengoptimumkan potensi modal insan negara.

5. Setiap kejayaan nasional dari transformasi negara pertanian berpendapatan rendah kepada negara perindustrian moden berpendapatan sederhana tinggi, tercatat di celah-celah lipatan kudratnya para guru. Begitu juga lompatan transformasi berikutnya ke arah negara maju berpendapatan tinggi memerlukan sentuhan para guru sesuai dengan tema sambutan tahun ini “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”.

6. Lantaran itu, menyedari bebanan tugas dan pengorbanan yang telah dibuat para guru, maka kerajaan telah memutuskan untuk menambahbaik skim perkhidmatan Guru Malaysia. Sehubungan itu, sukacita saya maklumkan kerajaan telah bersetuju bahawa:

7. Sebagai kesinambungan kepada keperluan transformasi kecemerlangan dalam Perkhidmatan Perguruan dan dalam memartabatkan profesyen keguruan di samping mengambil kira keunikan fungsi tugas guru, kaedah kenaikan pangkat khususnya time-based perlu diberi nafas baru.

8. Kerajaan mendapati sekarang ini, majoriti guru yang bertungkus lumus di bilik darjah hanya akan mengakhiri perkhidmatan mereka cuma pada Gred DG48 setelah sekian waktu menabur bakti selama 25 tahun. Makanya, kini sampai masanya laluan kerjaya guru ditambah baik demi memastikan mereka yang membentuk modal insan negara diberi pengiktirafan dan ganjaran sewajarnya.

9. Oleh yang demikian, Kerajaan memperkenalkan kaedah baru kenaikan pangkat khusus kepada guru yang terlibat dalam pengajaran dan pembelajaran atau PDP yakni Guru Wibawa dan Pendeta Guru di mana guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan Pertamanya: Guru Biasa, keduanya: Guru Kanan, ketiganya: Guru Wibawa dan keempat: Pendeta Guru. Jelasnya, pewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan.

10. Selain itu, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru ini, laluan kerjaya guru dalam bidang pengajaran dan pembelajaran akan diperluaskan sehingga mencapai ke gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

11. Satu lagi berita baik bagi mereka yang menunjukkan kecemerlangan terkemuka mutunya seperti ditetapkan oleh Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan, mereka boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara. Namun, untuk guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan. Untuk ini, Kerajaan bersetuju menambahkan lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan pengajaran dan pembelajaran sebanyak 100% dengan menambah jumlah sebanyak 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

12. Selanjutnya, sebagai membuktikan lagi kesungguhan Kerajaan dalam memartabatkan profesyen keguruan, Kerajaan bersetuju untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan. Manakala, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 dinaikkan ke Gred DG48 akan melibatkan 6,585 jawatan. Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan.

13. Khabar gembiranya Insyaallah, tarikh kuat kuasa pelaksanaan semua perubahan yang dinyatakan tadi akan bermula pada 1 hb Januari 2012.

Para guru yang dimuliakan sekalian,

14. Begitulah, betapa pihak kerajaan amat memandang tinggi profesyen keguruan di negara ini. Hakikatnya, setiap seorang daripada kita tidak kiralah sama ada beliau seorang Pemimpin, Pentadbir, Doktor, Peguam, Akauntan, Jurutera, Ahli Sukan atau apa jua pun kerjayanya, telah terasuh dan dibimbing oleh insan yang bernama guru.

Pujangga bermadah:

Guru umpama kandil yang terang menyala,

Suluh cahayanya penerang jalan,

Sepatah kata dijadikan pelajaran,

Segumpal pesan dijadikan pedoman,

Ilmu dicurah mengorak alam terkembang.

15. Akhir kata, mudah-mudahan para guru sekalian terus ikhlas dan bersemangat menabur jasa serta khidmat bakti kepada anak-anak watan demi sebuah Malaysia.

Wabillahi Taufik Walhidayah, Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Sumber : http : //www.mstar.com.my/

Antara Lobak, Telur, Kopi dan air panas...

Satu cerita popular dalam sesi motivasi...merupakan singkapan menarik buat rakan seperjuangan yang sering dilanda ujian oleh Allah swt...

Kesemua tiga-tiga unsur iaitu lobak, telur dan kopi dimasukkan ke dalam gelas air panas yang berasingan.

Gelas Pertama Lobak dimasukkan ke dalam air panas.
Sifat lobak ialah keras apabila dimasukkan ke dalam air panas menjadi lembut.

Gelas Kedua Telur di masukkan ke dalam air panas.
Sifat asal telur ialah mudah pecah apabila dimasukkan ke dalam air panas ia menjadi keras.

Gelas ketiga Kopi dimasukkan ke dalam air panas.
Sifat asal kopi pahit apabila dimasukkan ke dalam air panas dan ditambah gula ia menjadi manis.

Kesimpulan kisah...

Air panas itu diibaratkan seperti dugaan dari Allah swt.

Manusia yang pertama seperti lobak. Sebelum ia menerma dugaan daripada Allah swt. Ia kelihatan sungguh hebat dan kuat. Apabila ia diuji oleh Allah swt ia menjadi lemah dan tidak bermaya walaupun pada asalnya ia sungguh kuat dan kelihatan gagah.

Manusia yang kedua seperti telur. Ia seorang individu yang lemah dan tiada kekuatan diri tetapi apabila diduga oleh Allah swt ia menjadi tabah dan kuat dalam menempuh segalanya.

Manusia yang ketiga ialah seperti kopi. Sebelum ia diduga oleh Allah swt kehiupan yang dilalui adalah seperti biasa sahaja. Tetapi apabila diduga Allah swt ia menjadi lebih gagah dan kuat dan mengganggap segala ujian dari Allah swt adalah sesuatu kemanisan dari Allah swt.

Dalam kehidupan seharian, kita tidak dapat lari dari dugaan Allah swt... Jadikan dugaan dariNYA itu suatu yang manis dalam kehidupan yang dilalui.

Semoga dengan kisah ini ia menjadi sesuatu kekuatan dalaman ketika melalui lautan kehidupan ini...

Catatan Cikgu Yusri.
Selagi lilin masih menyala.

Isnin, 16 Mei 2011

Tokoh Guru 2011


Pemenang Anugerah Tokoh guru 2011

Empat penerima Anugerah Tokoh Guru 2011 pula ialah bekas Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Industri Selangor (Unisel), Prof Datuk Dr Ab Rahim Selamat, 66, dari Melaka; Datuk Siva Subramaniam, 64, dari Perak; Hamedah Wok Awang, 63, dari Pahang dan Datuk Rita Jaafar, 62, dari Sabah.

Mereka menerima wang tunai RM10,000, pingat emas, plak dan sijil penghargaan disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Konvesyen Borneo Kuching.


Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Matnor Daim, 68, dipilih Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan sempena sambutan Hari Guru 2011 peringkat kebangsaan ke-40.

Sumber : Berita Harian.

Selamat Hari Guru 2011

Dalam ruang ini saya mencatatkan sejuta penghargaan kepada rakan-rakan dalam AJK kelab guru dan staf SK Seri Bemban lantaran kerahan kudrat bagi mejayakan program pada Hari Guru tahun ini.

Saya mengucapkan terima kasih ini kepada
Cikgu Asmawi -Timb.pengerusi (PA System).
Cikgu Yusmaniza- setiausaha (surat-menyurat,persediaan cabutan nama guru).
Pn. Hasleeza - Bendahari- (arangekan hotel,pungut duit,belikan hadiah).
Cikgu Iswardy - (payung, mc di hotel dan sesi karaoke).
Cikgu Aza,Cikgu Wan,Cikgu Sharifah -(hiaskan payung,bawa hadiah ke hotel).
Cikgu Fakarudin- sukaneka hari guru.
Pn. Noresah - print pada plag.

Terima kasih buat AJK saya.
Selamat Hari Guru
Selagi lilin masih menyala.

konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru bermula 1 Januari 2012.

Kenaikan pangkat guru diberi nafas baru

KUCHING 16 Mei - Warga pendidik kini boleh menikmati lonjakan gred dalam perkhidmatan melalui kaedah kenaikan pangkat yang diberi nafas baru melibatkan pengenalan konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru bermula 1 Januari 2012.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, menerusi kaedah itu guru akan dikategorikan mengikut empat lapisan jawatan iaitu Guru Biasa, Guru Kanan, Guru Wibawa dan Pendeta Guru.

Menurutnya, melalui konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru, laluan kerjaya guru yang terlibat dalam aspek pengajaran dan pembelajaran (PDP) akan diperluaskan sehingga ke Gred 54 dalam tempoh perkhidmatan 25 tahun dengan memenuhi tahap kecemerlangan serta lain-lain syarat yang ditetapkan Lembaga Kenaikan Pangkat Perkhidmatan Pendidikan.

"Kewujudan empat lapisan jawatan tersebut akan membolehkan peningkatan ke gred yang lebih tinggi berdasarkan kecemerlangan," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi rakaman video yang ditayangkan pada Perayaan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-40 yang dilancarkan oleh Timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

Sambutan bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara itu turut dihadiri isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib serta 4,000 warga pendidik dan tetamu jemputan.

Perdana Menteri turut mengumumkan bahawa mana-mana guru yang menunjukkan kecemerlangan seperti ditetapkan oleh lembaga tersebut boleh mencapai Gred Khas C dan ke atas sebelum bersara.

Katanya, bagi guru-guru yang tidak dinaikkan pangkat ke Gred Khas, mereka masih berpeluang untuk menikmati Pergerakan Gaji Tahunan.

"Untuk itu, kerajaan bersetuju menambah lagi jawatan Gred Khas C bagi laluan PDP sebanyak 100 peratus menjadi 72 jawatan berbanding 36 jawatan sedia ada di bawah konsep Guru Wibawa dan Pendeta Guru," katanya.

Beliau turut mengumumkan persetujuan kerajaan untuk menaikkan gred jawatan semua Pengetua Sekolah Menengah Gred DG48 ke Gred DG52 yang melibatkan 1,228 jawatan.

Katanya, semua Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum Sekolah Menengah Gred DG44 pula dinaikkan ke Gred DG48, melibatkan 6,585 jawatan.

"Seterusnya, semua GPK Pentadbiran, Hal Ehwal Akademik dan Kokurikulum di sekolah rendah Kluster dinaikkan dari Gred DGA32 ke Gred DGA34 yang melibatkan sejumlah 99 jawatan," katanya.

Rabu, 11 Mei 2011

Guru O Guru - Usman Awang

Guru O Guru


BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Tiga Cahaya Di Syurga

Diriwayatkan di dalam Kitab Hanafi, bahawa di hari kiamat (syurga) ada tiga cahaya yang berlainan :

1. Cahaya pertama seperti bintang.
2. Cahaya kedua seperti cahaya bulan purnama.
3. Cahaya ketiga seperti cahaya matahari.


Cahaya pertama ialah cahaya wajah-wajah manusia yang ketika di dunia, mereka segera meninggalkan pekerjaan dan terus bersuci dan mengambil air sembahyang apabila terdengar azan. Cahaya kedua seperti bulan purnama ialah cahaya wajah mereka yang mengambil air sembahyang sebelum azan. Cahaya yang ketiga seperti matahari ialah mereka di dunia sudah bersiap sedia di dalam masjid sebelum azan lagi.

Selasa, 10 Mei 2011

Program Hari Guru 2011 SK Seri Bemban

Sambutan Hari Guru 2011
SK Seri Bemban

7.40 pagi Perhimpunan seperti biasa
Ucapan Guru Besar
Nyanyian Hari Guru
Ikrar Hari Guru diketuai oleh Encik Yusri Muharam

8.10 pagi P&P seperti biasa

10.00 pagi Sukaneka Guru
Acara - Masuk bola jaring
Sambut belon air
Taji belon di kaki

Sebelah Petang

3.00 petang Jamuan Hi-tea di King Hotel, Ayer Keroh.

* Bawa pertukaran hadiah di hotel.
Pakaian waktu pagi batik rasmi SKSB
Pakaian sukan T.Shirt rasmi warna purple
Pakaian di hotel bebas.

Sekian terima kasih.
Catatan Cikgu Yusri Muharam.
Pengerusi Kelab guru dan staf SK Seri Bemban

Tema Hari Guru 2011

Adalah dimaklumkan bahawa Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) selaku urus setia pemilihan tema hari guru Tahun 2011 telah bersetuju memilih tema hari guru tahun 2011 ialah

'GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA'.

Selamat Hari Guru 2011....
Selagi Lilin masih menyala.

Ikrar Guru

IKRAR GURU MALAYSIA
IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkanPrinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.

Definisi saya kali ini pasti sama dengan anda.
Catatan kembali menjelang Hari Guru 2011

Isnin, 9 Mei 2011

Merah...antara UMNO, Manchester United dan Pasukan Kelantan

Bertemu kembali dalam Definisi Saya Mungkin Berbeza Dengan Anda....

Ketika saya bersekolah rendah dahulu Pasukan Rumah Merah tampak begitu gagah. Pasukan Merah itu begitu di cemburui oleh pasukan rumah lain. Ketika saya sekolah rendah dahulu cikgu meletakkan saya di rumah kuning. Mungkin sudah nasib agaknya rumah merah sentiasa memonopoli pingat yang dipertandingkan.Ketika saya di sekolah menengah rumah merah sekali lagi mengungguli pungutan pingat.

Apabila saya mengajar di SK Seri Bemban sehingga ke tahun 3, rumah merah menjadi juara 3 kali berturut2. Tahun ini juga semua guru sudah melihat rumah merah diwakili oleh jaguhan sukan yang sering mewakili sekolah sehingga ke peringkat negeri.

Saya cuba mendefinisikan warna merah ini ia mungkin secara kebetulan sahaja.

Dari segi politik pula mengambarkan merah ia sungguh gagah. Cuba kita lihat parti yang menerajui kerajaan iaitu UMNO. Warna bendera UMNO ialah merah. Baju rasmi wanita UMNO merah. Mungkin kerana warna merahnya ia kelihatan begitu gagah dan dapat bertahan dalam memerintah negara sehingga ke hari ini. Saya tidak pandai berbicara politik kerana semua pergolakkan politik negara adalah sesuatu pembelajaran kepada saya. Saya juga belajar membaca buku-buku politik. Saya mempunyai beberapa koleksi buku politik antaranya buku tulisan Dr. Mahathir seperti Dilema Melayu dan beberapa penulisan berkenaan Dr. M iaitu pentadbiran Mahathir, Surat Dr.Mahthir kepada ZAM (Zainuddin Maidin). Saya juga membaca buku dari parti yang tidak sealiran dengan parti pemerintah seperti tulisan Tok Guru Nik Aziz seperti Menyemai Benih-benih syurga, Menuju Pas yang Baru tulisan Mujahid, Penghujung Catatan tulisan Lufti Othman, Saya Pun Melayu tulisan Zahid Ibrahim dan beberapa buku lagi. Saya memandang semuanya dari segi ilmiah.

Kita kembali kepada merah. Dalam liga Inggeris ketika saya menulis catatan ini
pasti penyokong Manchester United telah meraikan kejayaan pasukan pilihan kerana mengalahkan jersi biru iaitu pasukan pilihan saya Chelsea. Mungkin kebetulan agaknya Big Four sejak dari dulu lagi iaitu 3 merah dan satu sahaja biru. Merah - MU, Arsenal,Liverpool dan yang biru itu adalah pasukan pilihan saya. Mungkin pilihan pasukan Datuk Seri Najib tepat iaitu pasukan MU berjersi merah.

Dalam liga Super..ternyata pasukan berjersi merah begitu menguasai kedudukan liga. Kelantan dan Selangor menjadi jaguh dalam liga tempatan. Dalam Piala Dunia baru-baru pasukan Spanyol berjaya mengucupi piala itu dengan berjersi merah.

Negara Jepun suatu kuasa besar dalam bidang ekonomi dan teknologi begitu taksub dengan bendera mataharinya yang berwarna merah.

Mungkin ini secara kebetulan sahaja....semuanya dari ALLAH swt...Dia lebih mengetahuinya dan Maha Berkuasa...

Kita seperti apa yang kita sangkakan

Datuk Dr Fadzilah Kamsah pernah berkata dalam rancangan di astro oasis "Kita tidak boleh percaya pada aura warna kerana ia boleh membawa kepada syirik. Cuma katanya lagi warna itu nanya boleh memberikan kita semangat dan ini kerana sangkaan kita sahaja. Mungkin kata Dr Fadzilah ada benarnya. Contohnya saya sendiri pernah alami, saya demam dan pergi ke klinik yang kononnya serasi dengan saya. Saya pergi ke klinik dan berjumpa doktor di sebuah klinik di Jasin. Saya mendengar kata semangat dari doktor itu dan membekalkan ubat. Saya dapat rasakan badan saya bertambah sihat walaupun belum memakan ubat tadi. Sungguh menakjubkan.semuanya dengan Izin dari Allah swt. Tetapi apa yang menariknya di sini saya baik demam dengan sangkaan saya klinik tersebut serasi dengan saya.

Saya mennyangkakan saya seorang yang bijak bercakap di khalayak orang ramai. Jadi semenjak dari sekolah saya sentiasa menawarkan diri saya menjadi pengerusi majlis, memasuki ppertandingan pidato, mendeklamasikan sajak. Bukanlah bermakna saya menyangka diri saya lebih baik dari orang lain. Jauh sekali untuk meninggi diri. Saya cuma menggunakan sangkaan terhadap diri sendri. Tetapi bukanlah seorang yang perasan membabi buta.

Saya juga menyangkakan saya boleh menjadi seorang guru, jadi saya menyimpan hasrat tersebut semnjak dari tingkatan 4. Jadi saya berusaha ke arah seperti yang di sangkakan. Kerana sangkaan tersebutlah saya menjadi guru seperti hari ini. Alhamdulliah.

Namun demikian saya menyedari sangkaan boleh bertukar menjadi sesuatu yang terlalu negatif. Bila kita tidak menjangkakan kita tidak boleh melakukan sesuatu pasti kita tidak boleh melakukannya. Lantaran sangkaan saya, banyak perkara yang boleh mendatangkan mudarat pada diri saya sendiri. Saya hampir-hampir menolak tawaran ke universiti kerana tidak menjangkakan saya layak ke menara gading tersebut.

Benarlah kita seperti apa yang kita sangkakan. Saya selalu menasihatkan kepada murid-murid saya bahawa bersangka baik pada kebolehan diri sendiri. Bersangkalah sesuatu yang positif pada diri kita sendiri. Jadi kita hendaklah menyangkakan yang terbaik pada kita. Kita tidak akan menjadi seorang angkawasawan kerana ia jauh dari sangkaan kita. Sudah tentu kita tidak sangka kita akan menjadi perdana menteri sebab itulah kita tidak akan menjawat jawatan nombor satu negara itu.

Saya meminta kepada mentee saya bahawa sangkalah awak akan mendapat 5A pastikan awak akan mendapatkannya.

KITA SEPERTI APA YANG KITA SANGKAKAN.

Teruskan perjuangan hidup untuk ke kampung yang akhirat yang kekal abadi.

Soalan saya ...
Dengan amalan yang kita buat setakat hari ini, adakah kita sangka kita akan masuk syurga?

Ahad, 8 Mei 2011

Saya kembali....dengan Pro-Kontra Facebook....

Assalamualaikum...salam pertemuan...Setelah sekian lama saya menyepi..kini saya kembali dalam mengisi diari hidup...yang boleh kita kongsi bersama...

Kemunculan facebook begitu mengujakan kehidupan. Dengan kepantasan yang sediaada kita boleh menjejak persahabatan dengan sahabat lama. kemunculan facebook membuatkan saya begitu teruja melanggan jalur lebar pada penghujung 2009. Dengan bayaran RM 70.00 sebulan. saya dapat mengakses internet di rumah.

Ia sebenarnya bermula apabila saya mengikuti Kurus Guru Bestari kohot 3 di Insitut Perguruan Perempuan Melayu Melaka selama sebulan. Selama sebulan saya didedahkan dengan penggunaan internet. Saya mula rasa janggal bila tidak mengkases internet walau dalam sehari. Tambahan pula isteri saya ketika itu masih menjalani kursus Perguruan Lepasan Ijazah di Institut yang sama saya mengikut kursus Guru Bestari. Kewajaran saya melanggan perkhidmatan jalur lebar adalah tepat. Ketika itu saya tidak mengetahui potongan cukai bagi melanggan jalur lebar sebanyak RM 500.00. Kini manfaat benar2 saya dapat rasakan.

Kembali cerita pada Facebook...saya melihat ada pelbagai manfaat awal yang dapat diterjemahkan iaitu penjalinan silaturrahim dengan sahabat lama. Saya dapat kembali berhubung sahabat yang hampir 16 tahun tidak bertemu seperti di SM Vokasional Melaka Tengah hatta kawan2 sekolah rendah juga kembali dijejaki. Facebook juga menjadi medan pertukaran ilmu antara rakan-rakan. Dapat menjadi sahabat dengan tokoh pemimpin seperti Dr. Mahathir, Tok Guru Nik Aziz, Misbun Sidek dan ramai lagi. Wah besar sunnguh manafaat positifnya.

Yang menjadi kurang enak...bila kita terlalu menguar-uarkan peribadi diri di internet. Ada upload gambar peribadi sehingga membuka aurat. Bukankah itu salah di sisi agama. Ada juga yang memuat turun gambar dengan tujuan riak, meunjukkan rumah yang cantik, perabot yang mewah. Bukankah kita diajar untuk merendah diri. Malah lebih buruk lagi bila Facebook dijadikan medan menabur fitnah. Dari segi keselamatan ia mungkin akan dimanfaatkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Jangan salahkan bila macam2 agen yang telefon bila kita sendiri menayangkan nombor telefon di Facebook.

Kajian mendapati peningkatan jenayah siber sebanyak 89% bermula Januari 2010 dengan 1,525 kes pada tahun sebelumnya. Menurut tinjauan global TNS, rakyat negara ini mempunyai paling ramai kawan di laman sesawang rangkaian sosial dengan purata 233 kawan. Mereka juga menghabiskan masa melayari laman sosial berbanding e-mel dengan purata sembilan jam seminggu. (Sumber utusan-9 Mei 2011).

Melalui Facebook juga maruah anak gadis semurah ikan kering di pasar. Diberitakan seoarang pelajar tingkatan 2 menjadi mangsa 'kenduri seks' oleh sekumpulan remaja lelaki. Ia bermula dengan cinta siber yang berimaginasi tinggi. Mangsanya anak gadis yang mudah terpedaya dengan tipu daya siber.

Kini..terpulanglah kita dalam menentukannya. Saya teringat pada seorang rakan dari SK Batang Melaka...katanya...janganlah kita terlalu 'kaypo' sangat bila ke pasar ikanpun nak dicanang dalam Facebook.