Khamis, 22 Disember 2011

Hari ini.....seramai 1000 orang telah berkunjung ke blog saya...

Terima kasih kepada semua 'pengikut' dan kepada sesiapa yang telah berkunjung ke blog saya.

Hari ini seramai 1000 orang pengunjung telah membaca blog saya.

Saya membina tapak blog ini pada penghujung tahun 2009.
Saya belajar dari En. Hamzah pensyarah IPGM kampus Perempuan Melayu Melaka.

Terima kasih.

Sabtu, 17 Disember 2011

Anak Apak memoir yang banyak memberitahu.....



Saya memiliki perpustakaan peribadi yang memenuhi salahsatu bilik di rumah saya. Hobi saya ialah membaca buku politik. Saya meminati buku tulisan pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Saya banyak membaca buku tulisan Tun Dr.Mahathir, Tuan Guru Nik Aziz, Zahid Ibrahim dan terbaru Anak Apak buah tangan Subky Latif. Saya kini mengimpikan buku Memoir Syed Husin Ali. Saya masih menanti tulisan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Apa yang menyentuh hati saya,Subky latif menyatakan dibelakang bukunya. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan memoir ini.

Apabila cuti bermula saya tercari-cari buku yang dapat mengisi lapang. Alhamdullilah saya menjumpai buku berjudul Anak Apak dan dapat menghabiskannya dalam masa seminggu.

Buku berhalaman 437 muka surat sarat dengan sejarah diri Subky Sendiri, sejarah negara dan sejarah asal duduk beberapa orang ternama di sekeliling Subky.

Permulaan Memoir ini bermula dengan penuh penceritaan bagaimana insan yang bernama Subky berjaya menjawat jawatan sebagai wartawan. Sukarnya mendapat pekerjaan ketika itu apatah lagi sekarang.

Saya juga seolah-olah dapat melihat bagaimana semangatnya Angkatan Pemuda Insaf (API)memulakan api kemerdekaan. API yang bersongkok dan menjadi anak Melayu yang bersemangat mempopularkan perkataan MERDEKA. Dari sini kita dapat melihat Parti Kebangsaan Melayu Malaya antara yang terawal memperjuangkan kemerdekaan. Subky menggambarkan API menjadi tentera bagi mencapai kemerdekaan. Apa yang diutarakan oleh Subky amat menarik Askar Melayu adalah antara yang dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu, tetapi berada dibawah perintah Inggeris. panglima-panglima pentingnya masih tentera Inggeris yang dipinjamkan kepada Askar Melayu. Dalam masa perang kemerdekaan itu nanti, Askar Melayu tidak dapat diharapkan akan memihak kepada barisan kemerdekaan, malah tidak dapat diharapkan untuk bersikap kecuali. Mereka bukan musuh, tetapi keadaan yang ada, mereka dikawal dan dikuasai oleh musuh kemerdekaan. Saya tidak berani mengulasnya panjang kerana datuk saya juga seorang anggota Polis sekitar tahun 50-an hingga 70-an. Ayah saya juga seorang Askar.
Jadi bijak-bijaklah kita menilainya.....

UMNO lahir selepas itu UMNO dibawah Dato' Onn ditubuhkan bertujuan menentang Malayan Union dengan slogan HIDUP MELAYU dan sejurus selepas itu memperjuangkan kemerdekaan. Sebenarnya kemerdekaan ini diusahakan oleh banyak pihak. Samada ia menjadi wira yang didendang mahupun tidak. Sebagai contohnya anak-anak muda sekarang hampir melupakan Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak dan dua orang rakannya iaitu Uda Bakti dan Itam Tihat. Subky dengan memoirnya telah cuba mengingatkan kita semua dengan kependekaran pahlawan Melayu berjuang walaupun hanya bersenjatakan keris.

Apak telah mengajar Subky mengaji sepanjang membonceng basikal juga amat jelas kepentingan agama. Amat menarik...tetapi ibubapa kini membawa kereta berhawa dingin sambil didendangkan lagu-lagu terkini buat santapan halwa telinga.

Kekerasan hati Apak yang menolak tawaran untuk Subky ke MCKK juga menunjukkan pegangan kuat Apak untuk menjadikan anaknya itu tokoh ulama' terkemuka. Apak tidak mahu anaknya terdedah dengan budaya kafir. Mungkin jika Subky menerima tawaran ke MCKK dia mungkin menjadi tokoh besar dalam kepimpinan negara hari ini. Tetapi bagi Subky amat berterima kasih kepada ayahnya dalam kehidupan yang ingin dicorakkan padanya. Menjadi tokoh agama adalah matlamat Apak bagi Subky.

Sebenarnya banyak lagi yang menarik dalam Anak Apak ini. Tidak dapat saya nak tuliskannya semua. Namun demikian ia adalah sesuatu amat menarik untuk kita teladani melalui insan bernama Subky. Semua orang ada memoirnya tersendiri tetapi pada saya memoir Subky ini amat menarik dan saya tidak sabar menunggu dua buku yang dijanjikan oleh Subky selepas ini. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada Subky dan terus menulis buat tatapan semua.

Kepada sesiapa yang belum mendapatkan buku maka wajarlah mendapatkannya.

Antara menarik perhatian saya ialah perkenalannya dengan Pak Lah semasa zaman GPMS, pengalamannya bermain dengan anak dan adik Chin Peng, gambaran jelas suasana pilihan raya pada 27 Julai 1955. Apa yang menyedihkan Subky tidak merasa walaupun sesuap mi ketika bertungkus lumus membantu digerai tersebut. Walaupun bukan itu yang diminta.

Semangat setia kawan berkayuh basikal dari Setiawan ke Ipoh. dan kesemua rakan-rakannya menjadi orang besar dalam negara.

Kita juga betapa pentingnya memartabatkan tulisan Jawi melalui kaca mata Subky dan terakhir sekali penceritaan Subky calon pilihan Tok Penghulu. Tetapi seperti kata Subky jika dia berjaya menjadi Tok Penghulu mungkin dia tiada dapat ke serata dunia. Dapat pula mengiringi Tun Razak ke luar negara.

Dua gambar yang menarik perhatian saya ialah gambar Subky menjadi MC pada majlis yang dirasmikan oleh Tun Razak dan gambar Subky terkini bersama Apaknya.

Tahniah Subky yang layak saya panggil Pak Cik kerana usia saya yang masih mentah.
Terima kasih.

Setelah saya membaca kisah hubungan Subky dengan mantan PM ke-5, Saya teringin membaca buku Memoir Tun Abdullah Ahmad Badawi...kerana dia seorang pewaris Ulama' Pulau Pinang dan bagaimana dia memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya. Jatuh bangunnya dalam politik daripada team B sehinggalah dia menjadi PM. Dan yang pastinya apakah luah hatinya setelah dikecam teruk oleh Tun Dr.Mahathir.

Mungkin apabila Tun membaca memoir sahabatnya Subky, akan menjadi titik tolaknya menghasilkan bukunya sendiri.

Kasut sekolah bertali tidak sesuai untuk murid Tahun 1



Kasut sekolah bertali tidak sesuai untuk murid Tahun 1.

Dalam memilih keperluan anak-anak menempuh alam sekolah, kasut adalah suatu perkara penting. Harga kasut untuk murid sekolah rendah adalah antara RM 20 hingga RM 30. Jumlah pembelian kasut terpulang kepada kemampuan ibubapa. Jika mampu saya cadangkan belilah kasut sebanyak dua pasang. Ini penting kebanyakan anak kita bersekolah petang. Hari Rabu atau Khamis bolehlah memakai kasut yang kedua.

Pemilihan kasut yang sesuai bagi murid Tahun 1 ialah kasut 'zap-on'.
Kasut sekolah bertali tidak sesuai untuk murid Tahun 1.

Melihat kerenah murid-murid Tahun 1 kadangkala amat mencuit hati. Kadang-kadang terkenang pula semasa zaman kanak-kanak dulu. kadangkala saya kerap menegur murid-murid supaya mengikat tali kasut mereka. Habis hitam hujung tali kasut dibuatnya.

Namun demikian penggunaan kasut bertali sekarang tidak sepopular dahulu. Sekadar berkongsi pengalaman cuma ada beberapa orang murid Tahun 1 yang cuba-cuba memakai kasut bertali. Kasut bertali ini sesuai untuk murid Tahap 2 iaitu bermula tahun 4.
Kasut sekolah bertali tidak sesuai untuk murid Tahun 1 kerana :

1. Menjimatkan masa. Ibubapa tidak perlulah sibuk-sibuk mengikatkan tali kasut anak-anak ketika waktu pagi. Murid Tahun 1 kebiasaanya tidak mampu mengikatkan tali kasut dengan kemas. Ibubapa juga tidaklah perlu mengikatkan tali kasut saban minggu.

2. Di sekolah memerlukan pergerakan yang banyak . Murid-murid perlu ke perpustakaan, ke makmal komputer dan ke bilik J-Qaf memerlukan murid membuka kasut. Bayangkan murid-murid Tahun 1 perlu membuka dan memakai kasut yang kerap. Murid-murid Tahun 1 yang memakai kasut 'Zap-On' adalah lebih pantas berbanding murid yang menggunakan kasut bertali.

3. Murid juga akan bersukan. Murid akan berlari dengan penuh semangat. Ketika itulah tali kasut mereka akan terbuka. Adalah menjadi bebanan kepada murid kerana dengan kerap kerana mengikat tali kasut mereka.

4. Murid Tahun 1 juga akan kerap ke tandas.

5. Murid Tahun 1 akan memijak taki kasut yang sering terbuka.

Kini terpulanglah kepada ibubapa untuk memilih kasut yang sesuai. Jika tetap memilih untuk memakai kasut yang bertali pilihlah tali yang lebih pendek.

Rabu, 7 Disember 2011

Persediaan murid ke tahun 1

Selain persiapan pakaian ada aspek lain yang perlu dipertekankan oleh ibu bapa sebagai langkah awal sebelum menghantar murid ke pintu pagar sekolah pada 4 hb Januari 2012.


Sebagai seorang guru saya memikirkan anak-anak kita memerlukan beberapa persiapan antaranya :

1. Ibu bapa perlu mengenalpasti sekolah yang mana perlu didaftarkan anak mereka. Kebiasaannya sekolah telah menghantar surat untuk pendaftaran. Pastikan tarikh orintasi murid, pembelian buku tulis dan senarai barang yang disyorkan oleh pihak sekoalah seperti baju sukan, lencana sekolah dan lain-lain lagi.
2.Bagi murid perempuan ibubapa perlu membuat keputusan memakaikan anak tudung ataupun tidak. Tinjauan saya ialah di tiga buah kelas di sekolah ini ialah daripada 15 orang murid 6 orang daripadanya telah diprogramkan oleh ibubapa tidak memakai tudung. Saya ada bertanya kepada ibubapa yang tidak memilih anak mereka memakai tudung jawapannya ialah panas dan selepas rehat biasanya tudung akan kotor terkena makanan. Pilihlah yang terbaik untuk anak kita. Pada saya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika ibubapa tetap memilih untuk tidak memakaikan anak tudung pastikan ia diikat rapi. Pihak sekolah kebiasaanya menetapkan warna getah atau reben yang dibenarkan untuk mengikat rambut.
3. Pastikan anak-anak kita dapat berinteraksi dengan rakan dan berkongsi dengan rakan
menggunakan sesuatu barangan. Kebiasannya anak-anak telah didedahkan untuk bergaul semenjak di pra lagi. Kita boleh melihat pergaulan anak-anak kita semasa di taman. Kita juga perlu menegur anak-anak kita jika dirasakan perlu. Jika ada kesilapan mereka janganlah dimarahi tetapi tegurlah dengan lemah lembut. Paling penting nyatakan sebab dan akibatnya. Contohnya "adik tidak boleh ambil barang kawan nanti......".
4. Bagi aspek pembelajaran yang asas sebagai ibubapa pastikan anak kita dapat menulis huruf besar dan kecil dengan baik. Pastikan anak kita dapat memegang pensel dengan betul. Gunakan buku garis tiga. Kita juga perlu murid dapat menguasai huruf vokal dan dapat membaca sekurang-kurangnya dua suku kata. Jika anak-anak kita sekadar menguasai dua suku kata dia pasti akan ketinggalan berbanding rakan lain. Jika kita inginkan kelebihan anak2 sebagai ibubapa bimbinglah mereka sepanjang cuti ini. Belilah buku persiapan ke tahun 1 atau buku tahun 1 untuk kita bimbing mereka.
5. Hantarlah mereka mengaji al-quran di kampung atau di taman kita. Umur 4 atau 5 tahun adalh masa terbaik kita menghantar mereka mengaji. Jika umur telah menjangkau 6 tahun masih belum menghantar mereka mengaji. Cari-carilah guru mengaji sekarang.

6. Hantarlah anak ke sekolah agama. Ada seorang bapa menyatakan kepada saya.Pelajaran anaknya agak merosot kerana terlalu penat kerana perlu ke sekolah petang. Tahun berikutnya dia memberhentikan persekolahan agamanya. Kesudahannya pelajaran anaknya makin merosot. Jadi menghantar anak ke sekolah petang bukanlah alasan prestasi pembelajaran anak menurun.
7. Pastikan kenderaan untuk menghantar dan mengambil anak-anak kita. Jika memilih van di luar pastikan ia berlesen dan mengikut peraturan yang ditetapkan oleh KPM.

Beberapa pemasalahan anak-anak di tahun 1 sekadar pengalaman saya.

1. Menangis di hari pertama persekolahan.
2. Tidak mengkut jadual waktu.
3. Mengoyakkan buku tulis.
4. Bergaduh dengan rakan.
5. Tidak berani menjawab soalan guru.
6. Kehilangan buku teks, tulis dan alatulis.
7. Kehilangan wang saku sekolah.
8. Memberikan barang sendiri kepada rakan.
9. Kerap mengasah pensel.
10. Kencing di dalam kelas.

Selamat menghantar anak di tahun 1 di kelas nanti. Jika anak kita menangis kenanglah waktu kita seusia mereka.

Kepada 2 orang anak buah saya Alyaa Fatihah dan Muhammad Daniel selamat ke tahun 1.