Ahad, 1 Januari 2012

Selamat Tahun Baru 2012

Selamat Tahun Baru 2012.

Azam saya pada tahun 2011 belum lagi tercapai. Walaupun saya telah berusaha keras bagi memenuhinya. Saya akan membawa harapan saya ke tahun 2012.

Semoga Allah membuka ruang dan peluang kepada saya dalam memenuhi impian yang tak mampu saya tulis dalam blog ini.

Apapun azam kita tetapi kita tetap terikat dengan Rukun Iman iaitu Percaya pada Qada' dan Qadar. Walaupun kita terikat dengan ketentuan Allah swt tetapi ia tidaklah menghalang kita untuk bercita-cita tinggi.

Dari itu berusaha memenuhi azam baru dan berserah kepada yang maha Esa.l

SBPA dan Berpencen 60 Tahun.

Kelam kabut juga dibuatnya bila Borang SBPA perlu ditandatangani pada cuti sekolah.
Saya tidak mempunyai masalah kerana jarak rumah saya dengan sekolah sekitar 5 minit sahaja. Saya agak kesian pada rakan-rakan yang terpaksa berpatah-patah balik kerana pada awalnya pihak sekolah menelefon guru-guru untuk tanda tangan pada Isnin tetapi bila CEUPACS menasihatkan tangguh dulu pihak sekolah menelefon kembali menangguhnya. Cuma selang sehari pihak sekolah mengarahkan datang kembali.

Kami tidaklah menyalahkan pihak sekolah kerana terikat dengan arahan-arahan yang berubah. Mendengar kisah dua rakan Kelantan dan Kuala Lumpur. Terpaksa berpatah-patah balik agak mengharukan.

Saya pada asalnya menandatangani borang opsyen 56 Tahun. Memandangkan saya hanya memulakan perkhidmatan pada usia yang agak lewat iaitu pada 30 tahun. Jadi saya memilih 56 Tahun kerana kalau pilih 58 tahunpun tidak cukup 30 tahun.

Jadi bila berpeluang tanda tangan pada usia 60 Tahun, ia membuka peluang kepada saya untuk berkhidmat selama 30 tahun. Pada asalnya bukanlah menjadi harapan saya untuk berkhidmat selama 30 tahun.

Agak berfikir juga pada awalnya kerana saya kurang pasti mampukah saya melaksanakan perkhidmatan sebaik mungkin pada usia 60 tahun. Ayah saya sendiri kembali ke rahmatullah pada usia 45 tahun dan ibu saya pada usia 52 tahun. Saya hanya berserah kepada Allah swt.

Dalam usia perkhidmatan yang berbaki selama 26 tahun...banyak lagi yang perlu saya tempuhi.