Rabu, 18 Mei 2011

PERUTUSAN HARI GURU 2011 OLEH KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA


PERUTUSAN HARI GURU 2011
KETUA PENGARAH PELAJARAN MALAYSIA
“GURU PENJANA TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera.
Tuan-tuan, puan-puan warga pendidik dan pelajar yang dikasihi sekalian,
1. Terlebih dahulu saya ingin melafazkan rasa syukur kerana sekali lagi
dapat kita menyambut Hari Guru yang telah mula diraikan semenjak tahun
1972. Betapa mulia darjat guru sehingga 16 Mei setiap tahun dikhususkan
sebagai hari menterjemah rasa penghormatan yang amat tinggi kepada
tuan-puan warga pendidik sekalian. Setinggi-tinggi penghargaan saya
ucapkan kepada semua warga guru atas jasa bakti yang tidak pernah
mengenal erti jemu dan lelah dalam usaha mendidik anak-anak bangsa
yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan
negara.
2. Pendidikan merupakan wadah utama menentukan perkembangan
kemajuan dan kemakmuran negara. Pendidikan menjadi peneraju dalam

membangunkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan
berkeperibadian mulia. Sejarah telah membuktikan pendidikan berjaya
membina tamadun sesebuah masyarakat dan menjamin keutuhan sesuatu
empayar. Kegemilangan zaman empayar Rom, keagungan kerajaan Islam
Abbasiyah dan kemasyhuran Dinasti Ming di China dicapai melalui
kepesatan pelbagai bidang ilmu, termasuk bidang sains dan teknologi.
Siapalah yang dapat menafikan bahawa sesungguhnya tunjang utama
dalam kemajuan pendidikan tidak lain dan tidak bukan adalah guru.
3. Sehubungan itu, amat wajarlah pemilihan tema hari guru pada tahun
ini iaitu “Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara”. Peranan dan
fungsi guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai
ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun
sahsiah malah sebagai agen perubahan. Guru bertindak sebagai pencetus
dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara
dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya
saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan
nilai sejagat.

4. Pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan direncana dan
dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dengan tujuan untuk
memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran
(P&P) di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentulah untuk menghasilkan
anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan
negara. Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi
apa-apa makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di
barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik
dan progresif. Di bahu gurulah diletakkan amanah memastikan kelancaran
dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan
Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan 1 Murid 1 Sukan
(1M1S).
5. Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini
akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM)
juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.
Pengharapan yang tinggi digantungkan kepada para guru sebagai
pemangkin transformasi untuk memastikan anak didik dipersiap dan
diperlengkapkan dengan elemen sains dan teknologi; komunikasi;
kerohanian, sikap dan nilai; perkembangan fizikal dan estetika;

kemanusiaan juga keterampilan diri. Persekitaran dunia yang semakin hari
semakin kompleks dan mencabar menuntut generasi dan anak bangsa
masa hadapan dibekalkan dengan keupayaan mapan mengharungi apa
juga rintangan yang menerjah.
6. Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju
Malaysia menjelang tahun 2020 yang dilancarkan pada awal tahun 2010
menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan
Malaysia. Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian
pelajar. Bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas
literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi dan peningkatan prestasi
Pengetua dan Guru Besar. Namun demikian, secantik dan segah mana
pun pelan pendidikan yang direncanakan pasti sukar untuk berjaya tanpa
komitmen dan usaha gigih para guru. Betapa besar peranan para guru
yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka.
Warga pendidik yang diraikan sekalian,
7. Sesuatu yang pasti, transformasi dalam pendidikan akan terus
berlaku. Kenyataan ini adalah selaras dengan aspirasi Malaysia menjadi

negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan,
budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama. Justeru saya
menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut
sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P
dalam bilik darjah. Wahai guru, begitu tinggi harapan yang disandarkan
oleh masyarakat kepada anda semua. Berikanlah tumpuan sepenuhnya
terhadap tanggung jawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum,
kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didikmu. Ketahuilah bahawa
golongan pendidik bukanlah golongan yang dipinggirkan dalam setiap
perancangan kerajaan di peringkat nasional.
8. Pihak kerajaan tidak pernah sekali-kali memandang sepi jasa bakti
yang dicurahkan oleh para guru. Pelbagai insentif dan inisiatif disediakan
bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin. Keprihatinan
kerajaan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan
jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan mewujudkan jawatan
pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan
peluang guru-guru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih
tinggi dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga ke
peringkat JUSA C. Sekadar menyebut beberapa contoh, sehingga
Disember 2010, kuota Guru Cemerlang Gred DG54 Sekolah Menengah
telah ditambah menjadi 166 dari jumlah asal sebanyak 100 kuota manakala
bagi Guru Cemerlang Gred DG52 Sekolah Menengah menerima
pertambahan sebanyak 166 kuota menjadikannya berjumlah 416 daripada
kuota asal sebanyak 250.
9. Keprihatinan kerajaan juga adalah menyeluruh tanpa garis
sempadan. Cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas
Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan
Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan muridmurid
walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda
semasa kerajaan. Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa
dipraktiskan oleh pihak KPM bagi memastikan peluang mengikuti
pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara
tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan
fahaman politik. Tiada istilah diskriminasi dalam sistem pendidikan negara.
Semua kanak-kanak mendapat hak yang adil dan saksama dalam konteks
pemerolehan ilmu. Pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada
golongan yang terpinggir. Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi
pendidikan khas disediakan bagi kanak-kanak kelainan upaya. Kanak7
kanak dalam kalangan kurang berkemampuan pula diberi bantuan melalui
Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Rancangan Makanan Tambahan,
Skim Bantuan Tuisyen dan Bantuan Pakaian Seragam Pasukan
Beruniform. Manakala bagi kanak-kanak yang cemerlang dalam bidang
akademik dan kokurikulum dalam kalangan keluarga berpendapatan
rendah layak menerima Biasiswa Kecil Persekutuan atau Program Pelajar
Projek Khas Sekolah Berasrama Penuh.
10. Menyedari tanggung jawab dan fungsi guru yang amat besar dan
penting, pastilah bukan calang-calang calon yang layak dipilih bertugas di
sekolah dan dipanggil ‘cikgu’. Sehubungan itu, KPM telah mengambil
langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria
pengambilan guru pelatih bagi kursus praperkhidmatan. Pencapaian
akademik yang baik, penglibatan aktif dalam kokurikulum, pencapaian MTeST
dan INSAK (Inventori Sahsiah Keguruan), prestasi temuduga individu
dan kumpulan dan ujian bertulis Bahasa Inggeris diambil kira bagi sebelum
seseorang calon guru pelatih dipilih bagi menjamin kualiti pendidik yang
dikeluarkan oleh institusi keguruan. Langkah untuk meningkatkan
profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus
dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat.

11. Usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai
sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau
kementerian sahaja. Warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu
memainkan peranan yang berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan
tahap profesionalisme masing-masing. Guru janganlah jemu berusaha
untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran
proaktif, kreatif serta inovatif. Saya juga ingin menyarankan agar guru-guru
mengaplikasi dan mengamalkan kaedah pembelajaran dan pengajaran
terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu
menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu.
12. Warga guru yang dihargai sekalian, anda semua merupakan insan
yang dianugerahkan dengan kegigihan dan kecekalan yang amat tinggi.
Biar acap kali diterjah dengan dugaan dan cabaran dalam berbagai bentuk,
kubu kesabaran kekal teguh dan kental. Teruskanlah melaksanakan
amanah yang diberikan dengan tulus, berpaksikan integriti dan
berdasarkan etika perkhidmatan. Imej profesion keguruan pasti akan dapat
ditingkatkan. Saya juga ingin menyeru agar para guru semua mematuhi
tata cara yang ditetapkan dalam menangani isu persekolahan terutama
yang berkaitan dengan disiplin murid. Tanganilah setiap masalah yang
timbul secara berhikmah. Nasihatilah murid-murid dengan lemah lembut
dan sentuhlah hati mereka dengan keluhuran, keikhlasan dan kemurnian
jiwa guru semua.
13. Akhir kalam, renungkanlah semula peranan dan tanggung jawab
tuan-tuan dan puan-puan semua sebagai penjana transformasi pendidikan
negara. Ketinggian kedudukan warga pendidik dalam masyarakat tidak
akan tergugat selagi warga pendidik semua jelas dengan misi dan
matlamat yang ingin dicapai serta tidak mudah berputus asa. Sebagai
pemimpin kepada anak didik, saya berharap agar guru menghayati katakata
Khalifah Abdul Malik bin Marwan ini, "Semulia-mulia manusia ialah
siapa yang mempunyai adab, merendahkan diri ketika berkedudukan
tinggi, memaafkan ketika berdaya membalas dan bersikap adil ketika kuat".
WARGA PENDIDIK YANG DIKASIHI SEKALIAN
TERIMA KASIH CIKGU … “SELAMAT HARI GURU”!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan