Isnin, 18 Julai 2011

Fatwa Berkenaan Rokok


Merokok Dari Pandangan Islam
Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa merokok adalah haram dari pandangan Islam kerana padanya terdapat kemudharatan.

Keterangan/Hujah:


1. Isu tabiat merokok ini timbul adalah hasil Seminar Pembasmian Tabiat Merokok anjuran Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM) pada 2 November 1994 di mana telah meluluskan resolusi untuk menubuhkan badan bertindak kebangsaan bagi memerangi tabiat merokok di kalangan rakyat Malaysia.

2. Pada masa kini jumlah perokok sama ada di negara maju atau negara membangun masih begitu besar, walaupun berbagai usaha telah dibuat oleh Kerajaan serta juga badan-badan sukarela bagi menyedarkan orang ramai tentang bahayanya merokok kepada kesihatan.

3. Pihak kerajaan telah membelanjakan banyak wang untuk merawat berbagai jenis penyakit yang dikaitkan dengan tabiat merokok terutamanya penyakit kanser, barah paru-paru serta penyakit jantung.

4. Kajian perubatan telah dapat membuktikan bahawa setiap batang rokok mengandungi 6 hingga 8 mg nikotin dan setiap sedutan asap rokok sebenarnya kita menghidu 4,000 jenis bahan kimia, hamper kesemuanya boleh memudharatkan badan manusia.

5. Merokok boleh mengganggu kesihatan, menghilangkan nafsu makan, merosakkan anggota badan, melemahkan jantung, kanser, barah paru-paru, gangguan pernafasan dan merosakkan otak.

6. Hukum merokok pada pandangan Islam seperti berikut:

(a)Sebahagian ulamak berpendapat merokok adalah harus kerana tidak sabit tentang kemudharatan atau mabuknya. Mereka juga bersandar kepada kaedah “ Asal Sesuatu Itu Adalah Harus “

(b)Setengah ulamak berpendapat merokok adalah makruh iaitu dikaitkan dengan bawang merah dan bawang putih di segi baunya.

(c)Ramai daripada ulamak berpendapat merokok hukumnya haram kerana ianya jelas memudharatkan kesihatan, membazir dan mensia-siakan harta serta dikategorikan sebagai satu perkara keji.

(d)Nash-nash Al-Quran dan hadith seperti berikut adalah menjadi asas kepada penetapan hukum:


Maksud firman Allah swt dalam surah al-Baqarah ayat: 195 " Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan "

Keputusan:
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 3/2003 yang bersidang pada 21 Syaaban 1424H bersamaan 17 Oktober 2007 sebulat suara bersetuju memutuskan perkara berikut :

1. Menerimapakai keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan bahawa merokok adalah haram.

2. Kempen kesedaran anti merokok perlu diadakan dengan lebih serius kepada masyarakat sebelum pewartaan dibuat.

Cadangan Pewartaan Fatwa Larangan Merokok

Keputusan:

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka Bil. 1/2010 yang bersidang pada 10 Rabiulawwal 1431H bersamaan 24 Februari 2010 sebulat suara bersetuju memutuskan beberapa perkara berikut :

Mewartakan fatwa pengharaman merokok di Negeri Melaka seperti sighah berikut :

a) Merokok adalah haram.

b) Oleh yang demikian, adalah haram bagi mana-mana orang Islam menghisap apa-apa jenis rokok, menjual atau terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam hal yang berkaitan dengan rokok.

c) Bagi maksud fatwa ini, 'rokok' ialah tembakau yang digulung dengan kertas atau daun nipah atau selainnya.

d) Larangan ini meliputi kepada sifat serta ancamannya seperti berikut :-

- melahirkan sikap serta tabiat yang buruk
- mendatangkan kemudaratan dari sudut kesihatan
- membawa kepada pembaziran dan pemborosan yang amat ditegah oleh agama

Sumber : JAKIM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan