Ahad, 10 Julai 2011

Beban kerja guru berlebihan di 4 buah negeri.

Guru di empat negeri, Selangor, Melaka, Johor dan Kuala Lumpur didapati menanggung beban kerja berlebihan, iaitu 74 jam seminggu berbanding maksimum 48 jam yang ditetapkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain – pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid.

Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk `Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran, baru-baru ini.

Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru.

Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias.

Setiausaha NUTP, Lok Yim Pheng, berkata pihaknya risau apabila mendapati kira-kira 60 peratus tugas guru kini membabitkan kerja pentadbiran.

Katanya, pertambahan beban tugas guru dikhuatiri akan menyebabkan hala tuju sistem persekolahan negara lebih mementingkan keputusan berasaskan peperiksaan, berbanding memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar.

“Sistem persekolahan sepatutnya dapat memupuk budaya mencintai ilmu di kalangan pelajar, tetapi ini dihalang oleh suasana guru yang semakin kurang berinteraksi dengan pelajar.

“Guru kini selain mengejar waktu untuk menghabiskan silibus mata pelajaran, memberi tumpuan terhadap aspek kemahiran pelajar menjawab soalan peperiksaan,â€‌ katanya kepada Berita Minggu, semalam.

Lok berkata, bilangan mata pelajaran semakin banyak dan melalui Sistem Pensijilan Terbuka di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lebih 100 mata pelajaran ditawarkan kepada pelajar.

“Adakah kita hanya mahu menggalakkan pelajar mendapat sebanyak mungkin A dalam peperiksaan. Jangan lupa bahawa aspek bukan akademik juga penting. Ada pelajar tidak berminat aspek akademik, tetapi mempunyai potensi dalam bidang lain,â€‌ katanya.

Lok menegaskan bahawa guru ingin memberi tumpuan kepada core business mereka, iaitu mengajar.

Bagaimanapun, katanya guru lebih menghabiskan masa menguruskan data, fail, rekod dan laporan, menguruskan pelbagai pertandingan kurikulum dan kokurikulum serta program akademik dan bukan akademik di luar sekolah.

Katanya, guru kelas dibebankan dengan pelbagai kerja perkeranian dan hanya sedikit masa digunakan untuk tujuan persediaan alat bantu mengajar dan rancangan mengajar serta menyemak buku latihan pelajar.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kementerian Pelajaran melantik guru khas untuk mengendalikan kegiatan kurikulum dan kokurikulum serta mewujudkan jawatan pembantu guru yang dapat menjalankan kerja perkeranian.

INFO: Kaji selidik NUTP mengenai beban tugas guru

A: Urusan data, fail, buku rekod dan laporan

# Pemprosesan maklumat guru, pelajar dan sekolah
# Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT), stok mata pelajaran dan bengkel
# Penilaian kerja kursus mata pelajaran untuk peperiksaan
# Penilaian lisan berasaskan sekolah (PLBS)
# Buku Nilam Sekolah
# Laporan Adab Belajar
# Baitulmal dan biasiswa
# Laporan guru bertugas
# Urusan disiplin pelajar
# Urusan pusat sumber
# Program khas dari Jemaah Nazir
# Buku rekod kerja sekolah


B: Pentadbiran

# Pegawai pinjaman di Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah
# Pengurusan pentadbiran
# Kutipan yuran dan pelbagai
# Guru kelas


C: Kurikulum

# Jenis peperiksaan
# Program sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pelajaran
# Kertas kerja kajian tindakan
# Panitia
# Mata pelajaran
# Pentaksiran Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS)
# Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)


D: Kokurikulum

# Aspek keselamatan & perlindungan guru dan pelajar


E: Hal Ehwal Murid (HEM)

# Urusan HEM Sekolah Menengah Berasrama


Oleh Ziauddin Sharuddin dan Nasron Sira Rahim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan