Selasa, 3 April 2012

Hasan tayang video pengakuan murtad

KUALA LUMPUR 2 April - Bekas Exco kerajaan negeri Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali hari ini mendedahkan bukti berlakunya kegiatan memesongkan akidah umat Islam yang dilakukan oleh beberapa pergerakan Kristian di negara ini.

Bukti menerusi rakaman video itu ditayangkan kepada media di kediamannya di sini dengan paparan pengakuan sepasang suami isteri yang pernah dimurtadkan sekitar 2002.

Rakaman video dengan tiga versi iaitu rakaman tanpa suntingan berdurasi sejam setengah serta rakaman dengan suntingan selama 16 minit dan 42 minit itu turut merekodkan pengakuan pasangan berkenaan menjalani upacara pembaptisan di sebuah pangsapuri di ibu negara.

Ujar Hasan, pengakuan pasangan itu jelas membuktikan kegiatan memurtadkan sebahagian umat Islam terutama dalam kalangan orang Melayu sememangnya berlaku.

''Unit Selamatkan Akidah (USA) sejak enam bulan lalu telah mengusahakan pembentukan data-data mengenai orang Islam yang terlibat dalam gerakan Kristianisasi. Gerakan itu telah berjaya memurtadkan umat Islam.

''Unit terbabit telah berusaha mendapatkan beberapa individu yang terlibat untuk berkongsi pengalaman mereka sejak dari mula terdedah kepada gerakan berkenaan hinggalah kepada mereka dimurtadkan.

''Saya difahamkan daripada pengakuan pasangan tersebut, dalam kumpulan mereka sahaja (yang dimurtadkan) ada lebih kurang 300 hingga 400 orang Melayu Islam. Namun, dakwa pasangan itu, sebenarnya ada banyak lagi kumpulan,'' katanya pada sidang akhbar di sini.

Hasan berkata, murtad di kalangan umat Islam kebanyakannya berlaku akibat mementingkan hiburan tanpa batas yang akhirnya memudahkan 'jarum' gerakan murtad memesongkan akidah mereka.

Dalam pada itu, beliau menempelak kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Abdul Rani Osman yang melihat pendedahan video pengakuan murtad itu sebagai tidak penting.

''Hari ini Abdul Rani (dalam kenyataan media) sebut video murtad tak penting. Jelasnya Pas Selangor sudah dapat arahan Pas Pusat, tidak perlu layan apa yang saya hendak cakap (tentang pendedahan murtad). Abdul Rani juga berkata ada banyak benda besar nak diberi perhatian iaitu pengundi hantu.

''Pengundi hantu dikatakan benda besar dan nak dibandingkan dengan isu murtad? Bayangkan seorang Islam kata video murtad tak penting? Bertambahnya orang murtad tak penting?

''Saya tak tahulah (hendak kata apa) dan berharap beliau balik kepada akalnya untuk mencambahkan akidah Islam,'' ujarnya.

Beliau kemudiannya membidas kenyataan seorang pemberita yang mengaitkan pertambahan umat Islam yang murtad khususnya di Selangor dengan kegagalan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertindak selaku ketua agama Islam negeri.

''Untuk anda (pemberita) kata Sultan tak jalankan tugasnya, ia keterlaluan,'' tegas beliau terhadap pemberita tersebut yang berulang kali membangkitkan soalan sama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan