Sabtu, 17 Disember 2011

Anak Apak memoir yang banyak memberitahu.....



Saya memiliki perpustakaan peribadi yang memenuhi salahsatu bilik di rumah saya. Hobi saya ialah membaca buku politik. Saya meminati buku tulisan pemimpin kerajaan mahupun pembangkang.

Saya banyak membaca buku tulisan Tun Dr.Mahathir, Tuan Guru Nik Aziz, Zahid Ibrahim dan terbaru Anak Apak buah tangan Subky Latif. Saya kini mengimpikan buku Memoir Syed Husin Ali. Saya masih menanti tulisan daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Apa yang menyentuh hati saya,Subky latif menyatakan dibelakang bukunya. Tiada apa-apa yang dapat saya tinggalkan kepada masyarakat melainkan memoir ini.

Apabila cuti bermula saya tercari-cari buku yang dapat mengisi lapang. Alhamdullilah saya menjumpai buku berjudul Anak Apak dan dapat menghabiskannya dalam masa seminggu.

Buku berhalaman 437 muka surat sarat dengan sejarah diri Subky Sendiri, sejarah negara dan sejarah asal duduk beberapa orang ternama di sekeliling Subky.

Permulaan Memoir ini bermula dengan penuh penceritaan bagaimana insan yang bernama Subky berjaya menjawat jawatan sebagai wartawan. Sukarnya mendapat pekerjaan ketika itu apatah lagi sekarang.

Saya juga seolah-olah dapat melihat bagaimana semangatnya Angkatan Pemuda Insaf (API)memulakan api kemerdekaan. API yang bersongkok dan menjadi anak Melayu yang bersemangat mempopularkan perkataan MERDEKA. Dari sini kita dapat melihat Parti Kebangsaan Melayu Malaya antara yang terawal memperjuangkan kemerdekaan. Subky menggambarkan API menjadi tentera bagi mencapai kemerdekaan. Apa yang diutarakan oleh Subky amat menarik Askar Melayu adalah antara yang dianggotai sepenuhnya oleh orang Melayu, tetapi berada dibawah perintah Inggeris. panglima-panglima pentingnya masih tentera Inggeris yang dipinjamkan kepada Askar Melayu. Dalam masa perang kemerdekaan itu nanti, Askar Melayu tidak dapat diharapkan akan memihak kepada barisan kemerdekaan, malah tidak dapat diharapkan untuk bersikap kecuali. Mereka bukan musuh, tetapi keadaan yang ada, mereka dikawal dan dikuasai oleh musuh kemerdekaan. Saya tidak berani mengulasnya panjang kerana datuk saya juga seorang anggota Polis sekitar tahun 50-an hingga 70-an. Ayah saya juga seorang Askar.
Jadi bijak-bijaklah kita menilainya.....

UMNO lahir selepas itu UMNO dibawah Dato' Onn ditubuhkan bertujuan menentang Malayan Union dengan slogan HIDUP MELAYU dan sejurus selepas itu memperjuangkan kemerdekaan. Sebenarnya kemerdekaan ini diusahakan oleh banyak pihak. Samada ia menjadi wira yang didendang mahupun tidak. Sebagai contohnya anak-anak muda sekarang hampir melupakan Dato' Maharaja Lela di Pasir Salak dan dua orang rakannya iaitu Uda Bakti dan Itam Tihat. Subky dengan memoirnya telah cuba mengingatkan kita semua dengan kependekaran pahlawan Melayu berjuang walaupun hanya bersenjatakan keris.

Apak telah mengajar Subky mengaji sepanjang membonceng basikal juga amat jelas kepentingan agama. Amat menarik...tetapi ibubapa kini membawa kereta berhawa dingin sambil didendangkan lagu-lagu terkini buat santapan halwa telinga.

Kekerasan hati Apak yang menolak tawaran untuk Subky ke MCKK juga menunjukkan pegangan kuat Apak untuk menjadikan anaknya itu tokoh ulama' terkemuka. Apak tidak mahu anaknya terdedah dengan budaya kafir. Mungkin jika Subky menerima tawaran ke MCKK dia mungkin menjadi tokoh besar dalam kepimpinan negara hari ini. Tetapi bagi Subky amat berterima kasih kepada ayahnya dalam kehidupan yang ingin dicorakkan padanya. Menjadi tokoh agama adalah matlamat Apak bagi Subky.

Sebenarnya banyak lagi yang menarik dalam Anak Apak ini. Tidak dapat saya nak tuliskannya semua. Namun demikian ia adalah sesuatu amat menarik untuk kita teladani melalui insan bernama Subky. Semua orang ada memoirnya tersendiri tetapi pada saya memoir Subky ini amat menarik dan saya tidak sabar menunggu dua buku yang dijanjikan oleh Subky selepas ini. Semoga Allah memberikan kesihatan yang baik kepada Subky dan terus menulis buat tatapan semua.

Kepada sesiapa yang belum mendapatkan buku maka wajarlah mendapatkannya.

Antara menarik perhatian saya ialah perkenalannya dengan Pak Lah semasa zaman GPMS, pengalamannya bermain dengan anak dan adik Chin Peng, gambaran jelas suasana pilihan raya pada 27 Julai 1955. Apa yang menyedihkan Subky tidak merasa walaupun sesuap mi ketika bertungkus lumus membantu digerai tersebut. Walaupun bukan itu yang diminta.

Semangat setia kawan berkayuh basikal dari Setiawan ke Ipoh. dan kesemua rakan-rakannya menjadi orang besar dalam negara.

Kita juga betapa pentingnya memartabatkan tulisan Jawi melalui kaca mata Subky dan terakhir sekali penceritaan Subky calon pilihan Tok Penghulu. Tetapi seperti kata Subky jika dia berjaya menjadi Tok Penghulu mungkin dia tiada dapat ke serata dunia. Dapat pula mengiringi Tun Razak ke luar negara.

Dua gambar yang menarik perhatian saya ialah gambar Subky menjadi MC pada majlis yang dirasmikan oleh Tun Razak dan gambar Subky terkini bersama Apaknya.

Tahniah Subky yang layak saya panggil Pak Cik kerana usia saya yang masih mentah.
Terima kasih.

Setelah saya membaca kisah hubungan Subky dengan mantan PM ke-5, Saya teringin membaca buku Memoir Tun Abdullah Ahmad Badawi...kerana dia seorang pewaris Ulama' Pulau Pinang dan bagaimana dia memilih UMNO sebagai wadah perjuangannya. Jatuh bangunnya dalam politik daripada team B sehinggalah dia menjadi PM. Dan yang pastinya apakah luah hatinya setelah dikecam teruk oleh Tun Dr.Mahathir.

Mungkin apabila Tun membaca memoir sahabatnya Subky, akan menjadi titik tolaknya menghasilkan bukunya sendiri.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan