KUALA LUMPUR, 4 Ogos (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian dua bulan bonus kepada penjawat awam tahun ini.
Presidennya, Datuk Omar Osman berharap kerajaan dapat menyediakan bonus sebulan sebelum sambutan Hari Raya dan sebulan bonus selepas sambutan perayaan itu.
Beliau berkata Cuepacs telah memohon secara rasmi melalui surat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dua bulan lepas dan mengharapkan berita baik itu diumumkan tidak lama lagi.
"Sudah dua tahun penjawat awam tidak mendapat bonus sejak 2008 dan adalah diharapkan tahun ini kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus tersebut sebelum dan selepas Hari Raya bagi mengurangkan beban kewangan," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.
Sebelum ini, Cuepacs beberapa kali telah membuat permohonan kepada kerajaan agar mempertimbangan pemberian bonus tersebut selepas Cuepacs sendiri menerima banyak permintaan dari penjawat awam agar mereka mendapat bonus.
Beliau juga berkata pemberian bonus bukan setakat sehingga gred 54 sahaja tetapi kepada keseluruhan penjawat awam.
Bagaimanapun, ia terserah kepada kebijaksanaan dan kemampuan kerajaan untuk memutuskannya dan Cuepacs berharap agar ia dapat dipertimbangkan memandangkan keadaan ekonomi negara yang semakin menyakinkan.
Sementara itu, Cuepacs berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama kerajaan mengenai Skim Pencen Bercarum (SPB) yang dijangka akan dilaksanakan tahun depan.
Beliau berkata walaupun Cuepacs sebulat suara menolak pelaksanaan skim itu, mereka tetap bersedia untuk berbincang dengan harapan kerajaan dapat menawarkan penambahbaikan yang mampu memberi kebaikan kepada keseluruhan penjawat awam.
"Perbincangan ini untuk kerajaan mendengar apa sebenarnya pandangan Cuepacs, kenapa Cuepacs menolak SPB," katanya.
Cuepacs sebagai badan tertinggi yang mewakili sektor awam tetap dan berpencen mendakwa bahawa skim itu tidak menguntungkan terutamanya kepada generasi baru sektor awam.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan